Abdul Hamid wafat pada tahun 132
(750). Orang pertama yang menciptakan gaya bahasa surat-menyurat di dalam
sastera Arab. Konon dia guru kanak-kanak sebelum menjabat dalam bidang
kesetiausahaan di istana Hisyam ibnu Abdul Malik. Dia memiliki Enam Surat, yang
terkenal adalah Surat kepada Para Setiausaha yang dinukilkan Ibnu Khaldun dalam
Muqaddimah ini. Dia sempat meneruskan kerjayanya hingga masa pemerintahan
Marwan II.
Selepas ini adalah Surat kepada Para
Setiausaha yang diambil dari Muqaddimah yang dinukilkan oleh Ibnu Khaldun.
Terletaknya surat ini pada muka surat 286 dalam Muqaddimah ini. Moga kita
beroleh sedikit pengajaran dan ilmu.
“Amma ba’du. Semoga Allah s.w.t.
melindungi kamu, orang yang melaksanakan keahlian kesetiausahaan, dan semoga Dia
memelihara anda, dan memberi kejayaan dan petunjuk. Allah azza wa jalla telah
menciptakan para nabi dan rasul dan raja-raja yang dimuliakan, dilimpahi ke
atas mereka semua- dan raja-raja yang mulia.
Sesudah mereka, datang pula pebagai
jenis manusia, semuanya dijadikan oleh Allah s.w.t. mereka adalah daripada
jenis yang bermacam-macam, meskipun mereka pada hakikatnya adalah sama sahaja.
Allah s.w.t. memberi mereka dengan keahlian yang pelbagai, melakukan
berbagai-bagai usaha, supaya mereka boleh membuat penghidupan dan mendapat
rezeki daripadanya.
Dia memberi kamu, para setiausaha,
kesempatan yang baik untuk menjadi seorang manusia yang terpelajar dan berhemah
tinggi, memiliki pengetahuan dan pemikiran yang sempurna. Kamu melahirkan apa
yang baik bagi khalifah dan membetulkan banyak persoalannya. Melalui nasihat
kamu, Allah s.w.t memperbaiki pemerintahan untuk kepentingan umat manusia, dan
menjadikan negara itu bertamadun.
Raja tidak dapat mengetepikan kamu.
Hanya kamu sahaja yang dapat menjadikan baginda seorang raja yang cekap.
Kedudukan kamu dalam hubungannya dengan raja ialah sebagaimana sepasang telinga
yang digunakan untuk mendengar, sepasang mata dengannya untuk melihat, lidah
yang melaluinya untuk berbicara; dan tangan yang melaluinya untuk menyentuh.
Semoga Allah memberikan kamu, dengan
sedemikiannya kepuasan daripada suatu kemahiran yang sangat sempurna, yang mana
Dia telah membezakan kamu, dan semoga Dia tidak mengambil suatu nikmat besar
yang telah dilimpahi-Nya. Tidak ada seorang pun yang memerlukan lebih daripada
kamu untuk mengumpulkan semua perkara baik yang terpuji dan dikenangi serta
perilaku yang sangat dimuliakan.
Wahai para setiausaha, sekiranya
kamu mahu memenuhi gambaran tentang kamu sebagaimana yang dipaparkandi dalam
surat ini. Setiausaha itu menghendaki budi bicaranya sendiri, serta daripada
tuannya, yang mempercayainya untuk melaksanakan segala urusan penting ,
mengharapkan daripadanya, supaya berlemah lembut bila kelembutan itu
dikehendaki, dapat memahami apabila pertimbangan itu diperlukan, bersikap
berani apabila keberanian itu dimahukan, berasa ragu-ragu apabila keraguan itu
dituntut.
Dia haruslah memilih untuk bersikap
sederhana, adil, dan jujur. Dia harus sentiasa menjaga rahsia. Dia hendaklah
yakin apabila berada dalam keadaan yang sukar. Dia harus sudah dapat menduga
(terlebih dahulu) sesuatu mala petaka yang akan menimpa. Dia harus berupaya
meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar dan kecelakaan pada tempatnya yang
sebenar-sebenarnya. Dia sepatutnya telah mempelajari setiap cabang ilmu
pengetahuan, dan mendalaminya, dan sekiranya dia tidak mendalaminya hendaklah
dia berusaha menguasai apa yang secukupnya.
Bersandarkan kebijaksanaan yang
secara semula jadi ada padanya pendidikan yang sempurna, dan pengalamannya yang
luar biasa, dia harus dapat menduga sesuatu yang akan terjadi ke atas dirinya
sebelum peristiwa itu berlaku, dan dia harus mengetahui akibat daripada
tindakan sebelum sesuatu tindakan itu dilaksanakan. Dia seharusnya sudah
membuat persiapan yang sebaik-baiknya untuk menghadapi setiap hal, dan dia
harus meletakkan sesuatu setepat-tepatnya, sebagai mana yang lazimnya.
Dengan demikian, kumpulkan semua
setiausaha, bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan pelbagai pengajaran, sama-sama
mencapai persefahaman dalam hal ehwal agama. Mulailah dengan pengetahuan
tentang Kitab Allah azza wa jalla dan kewajipan-kewajipan agama. Setelah itu,
pelajarilah bahasa Arab, kerana ia akan memberikan kamu suatu bentuk
pembicaraan yang baik. Selepas itu, pelajarilah bagaimana hendak menulis dengan
sebaik-baiknya, kerana ia akan menjadi hiasan dalam di dalam surat-surat kamu.
Riwayatkan syair-syair dan biasakan untuk mengungkapkan perlafazan luar biasa
dan pemikiran yang terdapat dalam syair-syair itu. Biasakan untuk mengetahui
peristiwa-peristiwa politik bangsa Arab dan bukan Arab, dan dongeng-dongeng
kedua bangsa tersebut serta biografi yang menyatakan tentang bangsa itu, sebab
ia akan membantu usaha yang kamu lakukan. Jangan abaikan untuk mempelajari
akauntasi, kerana ia adalah dasar utama dalam urusan cukai tanah.
Bencilah sikap buruk sangka itu
dengan sepenuh hati kamu, baik yang keterlaluan mahupun yang paling sedikitnya,
dan segala sesuatu yang buruk dan penuh keji , sebab ialah boleh mendatangkan
keaiban dan akan menghancurkan kerjaya kesetiausahaan. Jangan biarkan keahlian
kamu itu menjadi sesuatu yang rendah martabatnya. Peliharalah ia daripada umpat
caci dan hasut menghasut dan segala macam tindak tanduk orang yang bodoh.
Berhati-hatilah selalu terhadap
sikap sombong, dungu, dan bangga diri, sebab ia akan mencetuskan perasaan
permusuhan tanpa (mempunyai sebab untuk) membangkitkan rasa benci. Sayang
menyayangi sesama sendiri demi Allah azza wa jalla di dalam kerjaya kamu itu.
Nasihati selalu teman-teman kamu supaya mengamalkannya dengan cara yang paling
sesuai sebagaimana mereka yang dipandang mulia, adil dan berbakat daripada
kalangan orang-orang terdahulunya.
Sekiranya salah seorang di antara
kamu menghadapi hidup kepayahan mengertilah keadaannya dan tenangkan dirinya
hinggalah segalanya kembali menjadi baik. Sekiranya salah seorang di antara
kamu sudah uzur dan tidak berupaya untuk mencari nafkah hidup dan mengunjungi
sahabat-sahabatnya,lawatilah dia dan hormatilah dia serta pelajaran daripada
pengalamannya yang berharga, dan pengetahuannya yang matang.
Hendaklah setiap daripada kamu
bersikap ambil perhatian terhadap pembantu-pembantu, yang kelaknya boleh
membantu apabila diperlukan, kemudian anak-anaknya atau saudara-saudaranya.
Sekiranya sesuatu pujian itu sampai (kepada salah seorang di antara kamu)
sewaktu melaksanakan tugasnya yang lain; sebarang celaan ditanggungnya sendiri.
Dia haruslah berwaspada terhadap sebarang kesalahan dan kesilapan yang tidak
disenganjakan, dan akan berasa terganggu apabila keadaannya sudah berubah.
Kamu sedari bahawa setiap daripada
kamu mempunyai seorang yang memberikan daripadan miliknya sebanyak sebagaimana
yang dituntut, dan (setiap kamu) menerimanya dengan kesetiaan, terima kasih,
tolak ansur, kesabaran, nasihat yang baik, bijaksana dan menampakkan minat yang
ketara terhadap hal-ehwalnya, dan dengan memperlihatkan (maksudnya yang baik)
melalui tindakannya apabila tuannya memerlukannya dan bantuannya. Sedarilah
terhadap (tanggungjawab kamu)- Allah s.w.t memberikan kamu keberhasilan- di
dalam keadaan baik dan buruk, dalam kekurangan sebagaimana juga di dalam
kemurahan dan kebaikan, di dalam kebahagian sebagaimana di dalam kecelakaan.
Sesiapa sahaja daripada bidang keahlian yang mulia ini, yang memiliki
sifat-sifat yang amat baik.
Sekiranya salah seorang di antara
kamu dilantik menjawat suatu jawatan, atau apabila sesuatu perkara yang
menyentuh insan ciptaan Allah s.w.t. dan keluarganya(yang diberi-nya nafkah)
dihadapkan kepada salah seorang di antara kamu, hendaklah dia memikirkan Allah
azza wa jalla dan patuh serta taat kepada-Nya. Hendaknya dia berasa kasih serta
sayang kepada orang yang lemah, dan berlaku adil terhadap orang yang telah melakukan
kesilapan.
Semua makhluk adalah insan Allah
s.w.t. Makhluk yang paling Dia cintai adalah makhluk yang paling kasih serta
sayang terhadap keluarganya-Nya. Selanjutnya, dia hendaklah menghakimi dengan
adil, dia harus menghormati mereka yang dimuliakan (keluarga Rasulullah s.a.w),
membahagi-bahagikan harta rampasan yang diperoleh dalam peperangan melawan
orang-orang kafir, serta membina peradaban untuk negerinya. Dia haruslah
memperlakukan rakyat dengan sebaik-baiknya, dan tidak menyakiti hati mereka. Hendaknya
dia merendah diri dan bersikap lemah lembut di dalam setiap urusannya.
Hendaklah dia sentiasa ramah-tamah dalam menangani urusan cukai tanah, dan
dalam menyelesaikan pengaduan yang diajukan.
“Apabila salah seorang di antara
kamu berbaik dengan seseorang, maka selidikilah pembawaannya. Apabila sudah
diketahui mengenainya- apa yang baik dan apa pula yang buruk, kamu akan dapat
melakukan sesuatu yang disenanginya serta berusaha menghindarkannya daripada
perkara-perkara tercela yang mahu dilakukannya. Kamu haruslah dapat
melakukannya dengan cara yang paling halus dan rapi.
Kamu mengetahui bahawa seseorang
yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga binatang dan mengerti akan
pekerjaannya, akan berusaha untuk mengetahui sifat binatang yang dijaganya itu.
Jika binatang itu cenderung untuk memecut apabila dipacu, dia tidak akan
mengarahkannya sewaktu menunggangnya. Jika binatang itu gemar menendang, dia
akan berhati-hati terhadap kaki depannya. Jika dia berasa khuatir bahawa
binatang itu akan kaget, dia akan berwaspada terhadap kepalanya. Jika binatang
itu suka berehat, dia dengan berhati-hati akan berusaha memaksanya untuk berjalan
ke mana sahaja binatang itu akan menghalakan arahnya. Sekiranya ia mahu terus
bergerak, dia akan menariknya secara perlahan-lahan menuju ke tepi dan kemudian
melepaskan tali kekangnya. Deskripsi-deskripsi tentang bagaimana hendak
menguruskan akan seekor binatang mengandung hal-hal baik bagi mereka yang hendak memimpin umat manusia, berbaik dengan
mereka, serta mengadakan hubungan yang akrab dengan mereka.
Setiausaha, dengan pendidikannya
yang tinggi, keahliannya yang dipandang mulia, cara bertindaknya yang rapi,
serta hubungannya yang sering dengan mereka yang bermusyawarah dengannya dan
membincangkan sesuatu perkara dengannya dan belajar daripadanya atau gentar
pada kebengisannya, haruslah bersikap bertimbang rasa terhadap
sahabat-sahabatnya, untuk memuji mereka, serta melayani keinginan mereka, lebih
banyak daripada orang yang mengurusi binatang yang tidak memberikan sebarang jawapan,
tidak mengetahui apa yang benar, tidak mengerti apa yang dikatakan padanya, dan
hanya menuruti arah yang dikendalikan oleh penunggangnya.
Ramah-tamahlah – moga-moga Allah
menganugerahi kasih sayang-Nya kepada kamu – sewaktu kamu menyelidiki sesuatu
hal. Pergunakan sebanyak-banyak pertimbangan dan pemikiran sebanyak yang
mungkin. Dengan izin Allah s.w.t., kamu akan terhindar daripada kekerasan,
kejengkelan, dan ketidaksopanan daripada orang-orang yang menjadi teman-teman
kamu itu. Mereka akan bersetuju dengan kamu, dan insya-Allah, kamu akan
mendapatkan persahabatan dan perlindungan daripada mereka, sekiranya Allah
s.w.t. menghendakinya.”
Janganlah ada di antara kamu yang
keterlaluan dalam bertindak, atau melampaui batas dalam berpakaian, menunggang
kuda, makan, minum, rumah, pembantu-pembantu, atau hal-hal lain yang ada
hubungannya dengan kedudukannya, kerana, meskipun ada kemuliaan daripada
keahlian yang secara khususnya diberikan oleh Allahs.w.t kepada kamu, kamu
adalah hamba yang tidak dibenarkan memberikan layanan yang tidak mencapai apa
yang diharap-harapkan. Kamu adalah penanggungjawab amanat di mana tidak
dibenarkan berkelakuan boros atau terlalu bakhil. Cubalah kamu kekalkan
kesopanan kamu dengan secara yang terencana di dalam semua hal yang telah saya
sebutkan dan telah diberitahukan. Awasilah pembaziran daripada bersikap boros
dan akibat buruk daripada kemewahan. Semuanya itu akan melahirkan kemiskinan
dan mendatangkan kehinaan. Mereka yang boros dan suka hidup secara mewah
diletakkan dalam keadaan yang memalukan, khususnya sekiranya mereka itu
setiausaha dan orang yang terpelajar.
Segala-galanya itu berulang dengan
sendirinya. Sesuatu perkara mengandung petunjuk kepada yang lain. Benarkanlah
diri kamu dibimbing pada masa hadapan dengan pengalaman masa silam. Kemudian,
pilihlah kaedah melakukan sesuatu pekerjaan yang lebih pasti, lebih tepat, dan
yang menjanjikan hasil yang terbaik. Anda harus menyedari bahawa ada sesuatu
yang akan menghancurkan pencapaian, yakni iaitu membicarakan tentang banyak
hal. Orang yang melakukannya akan dihalangi daripada menggunakan pengetahuannya
dan kemampuannya untuk berfikir. Dengan demikian, setiap daripada kamu sewaktu
masih berkhidmat harus berusaha untuk berbicara tidak lebih daripada apa yang
wajar, seseorang itu harus tepat dalam persoalan yang ditimbulkan dan jawapan
yang diberikan, serta harus memberikan renungan terhadap kesemua hujah yang
dianjurkan. Setiap pekerjaannya akan dimanfaatkan daripadanya. Ia juga akan
menghindarkannya daripada diasyikkan dengan hal lainnya. Dia harus banyak
memohon, memohon kepada Allah s.w.t. supaya Dia memberinya keberhasilan, dan
membantunya dengan petunjuk-Nya, kerana dia harus berasa takut untuk melakukan
sebarang kesalahan yang akan membahaya tubuhnya, dan akan menerbitkan keraguan
terhadap kebijaksanaannya serta pendidikannya.
Apabila salah seorang di antara kamu
berpendapat atau mengatakan bahawa kualiti dan kecekapan yang tinggi daripada
pekerjaannya adalah sesuatu dihasilkan kecerdikan dan pengetahuannya tentang
bagaimana melakukan sesuatu, maka dia telah membangkit kemarahan Allah
s.w.t. Allah s.w.t. akan membiarkan dia
dengan dirinya sendiri, dan kemudian barulah dia menyedari bahawa dirinya tidak
berkeupayaan untuk melaksanakan tugas itu. Hal ini bukanlah suatu rahsia lagi
kepada orang yang menyedarinya.
Jangan ada salah seorang pun di
antara kamu yang mengatakan bahawa dialah yang memiliki pengetahuan paling baik
terhadap segala persoalan, atau lebih bijak untuk mengendalikan segala masalah
yang sukar, daripada sahabatnya yang sebidang dengannya, dan daripada mereka
yang bekerja dengannya. Daripada dua manusia, mereka yang bijaksana menganggap
orang berkenaan paling cendekia yang melepaskan dirinya daripada kongkongan
sifat bangga diri dan yang memikirkan bahawa sahabat-sahabatnya adalah lebih
cendekia dan lebih ahli daripada dirinya. Namun dalam apa hal pun, kedua pihak
haruslah memperakui kemurahan Allah azza
wa jalla dalam menganugerahi nikmat-Nya.
Jangan ada
seorang pun yang membiarkan dirinya ditipu oleh pendapatnya sendiri dan
menganggap dirinya terlepas daripada sebarang kesalahan. Dia juga tidak
seharusnya berusaha untuk mengatasi kebolehan sahabat-sahabatnya, mereka yang
setara dengannya, rakan sekerjanya serta keluarganya. Setiap orang wajib memuji
Allah s.w.t., tunduk akan kebesaran-Nya, berasa rendah diri atas kebesaran
–Nya, serta melaksanakan apa yang disuruh-Nya.
Di dalam surat saya ini, biarlah
saya merujuk kepada peribahasa lama: “Barang siapa yang mahu menerima nasihat
yang baik akan memperoleh kejayaan”. Ini adalah intipati surat dan yang terbaik
yang disentuh di dalamnya, selepas rujukan tentang Tuhan sebagaimana yang
terkandung. Dengan demikian saya telah meletakkan ia di bahagian akhir, dan
saya tutup surat ini dengannya. Semoga Allah s.w.t. memelihara kita dan juga
anda, seluruh pelajar dan setiausaha, sebagaimana Dia memelihara orang yang
sebagaimana yang Dia ketahui, Dia akan membuatkan mereka berasa bahagia dan
memberikan petunjuk-Nya yang benar Dia dapat melakukannya. Ia adalah di tangan-Nya.”
“Wassalammualaikum warahmatullahi wa
barakatuh dan semoga Allah s.w.t mencucuri belas dan rahmat-Nya ke atas kamu.”
0 comments:
Post a Comment